Thursday, October 21, 2010

PERJALANAN HIDUP




Hampir 29 tahun saya melihat dunia. Bermula dengan bertatih, merangkak, berjalan dan seterusnya belajar mengenai hidup. Pelbagai suka-duka telah dilalui dalam mengajar erti sebuah kehidupan. Dunia yang paling indah dilalui pastinya dunia kanak-kanak. Kita hanya tahu bermain, berkawan dan belajar dengan bimbingan ibubapa tercinta. Saya masih teringat semasa zaman kanak-kanak lagak saya seperti budak lelaki kerana saya suka meronda kampung dengan basikal bersama kawan-kawan ( Aizun, kak long dan ngoh). Bayangkan kami berbasikal hampir 7 kilometer mengelilingi kampung dan patah balik semula ke rumah.. hehehehe!! pengalaman yang  amat seronok walaupun penat.

Namun apabila dewasa pelbagai onak duri yang amat mencabar telah dilalui dengan tabah dan kadangkala menguji keimanan. Saya percaya hidup adalah ujian dan ujian Allah bermula semasa kita membuka mata melihat dunia. Bezanya ialah tahap setiap ujian yang terpaksa ditempuhi oleh kita. Saya yakin dan percaya setiap apa yang dilalui pasti ada hikmah meskipun ia pengalaman yang pahit. Antara pengalaman pahit yang saya lalui ialah tersilap mempercayai dan memilih kawan. Tersilap mempercayai seseorang akan menyebabkan kita dihina dan difitnah walaupun hakikatnya kita telah mengubahnya ke arah kebaikan.

Percaya atau tidak ujian ini takkan berakhir selagi kaki belum melangkah kaki ke syurga. Apabila meninggal dunia pastinya kita disoal oleh malaikat mungkar dan nakir di alam barkzah. Seterusnya akan dibangkitkan ke alam akhirat yang mana segala amal yang dibawa dihitung disana.Sungguh menakutkan apabila berfikir tentang nasib diri di sana kerana terlalu banyak kelemahan dan kekurangan diri yang masih banyak perlu diperbaiki dan bekalan amalan yang masih belum mencukupi.

Salah satu azam atau perkara yang ingin saya lakukan ialah memaafkan semua orang kerana Allah s.w.t telah menjanjikan istana yang indah di dalam syurga khas untuk orang yang memberi maaf kepada orang lain. Memang selayaknya orang yang memberi maaf itu memperoleh mahligai di dalam syurga kerana perbuatan memaafkan itu bukanlah sesuatu mudah untuk dilakukan terutama apabila kita difitnah dan maruah kita dipijak - pijak oleh orang lain. Saya yakin hanya Allah yang mampu melembutkan hati dan memberi hidayah kepada kita untuk memaafkan orang. Insyaallah dengan izinNya saya pasti dapat memaafkan semua orang pada suatu masa nanti kerana nabi pernah bersabda bahawa beza dunia dengan akhirat ialah jika kamu mencelup jari kamu kelautan, air yang dijari itu ialah dunia manakala lautan itu adalah akhirat. Allahua'lam. 

No comments: